Saturday, September 26, 2009
Renungan buat Yang Bernama AKU
1. Seseorang yang masuk kerja pukul 8:35 am sedangkan waktu mula kerja adalah 8:30 am sudah dikira lewat datang kerja TETAPI jika seseorang itu sembahyang Zohor pukul 2:00 pm atau 2:30 pm masih dikira awal waktu mengikut tafsiran umum sedangkan masuknya waktu Zohor di Semenanjung Malaysia adalah sekitar pukul 1 - 1:30 pm. Bukankah ini salah faham namanya?
2. Kita mengeji dan mengutuk Amerika terutamanya di saat perang ini TETAPI ramai daripada kita tak boleh tinggal rokok yang dibuat oleh orang Amerika di negara kita ini dan tidak kurang juga di kalangan kita yang menjadi peminat dan pembeli setia filem-filem Amerika yang kaya dengan propaganda itu terutamanya filem-filem aksi dan perang. Di satu sudut kita penentang dan di satu sudut yang lain kita penyokong dan pendokong mereka. Adakah ini maknanya benci tapi sayang ?
3. Kalau ada pelancaran skim-skim amanah saham maka berduyun-duyunlah orang pergi melabur untuk masa depan katanya TETAPI bila ada pelancaran Tabung Derma (saham Akhiratlah tu) untuk bantu siapa-siapa yang memerlukan nak mengumpul satu juta RM pun cukup payah dari rakyat Malaysia yang lebih 22 juta ini malah ada yang ambil masa berbulan-bulan walaupun mendapat publisiti meluas melalui media massa. Mana yang lebih kita cinta?
4. Kita sangat sensitif dan terharu bila mendengar atau melihat ada ibubapa yang mendera fizikal anak-anak kecil dan membuang bayi merata-rata seperti sampah TETAPI kita jarang rasa sedih dan terharu bila ramai ibubapa yang mendera anak-anak secara maknawinya dengan tidak mendidik menjadi anak-anak yang soleh seperti mengenalkannya Allah, sembahyang, hormat orang tua, tutup aurat dan sebagainya agar tidak didera oleh malaikat di dalam kubur dan Neraka. Bukankah penderaan bentuk ini lebih meluas di serata dunia ? Bukankah ini satu perbuatan buang anak juga iaitu buang anak dalam api neraka? Mana lebih hina buang anak dalam tong sampah atau buang anak dalam api Neraka? Anak yang di buang dalam tong sampah belum tentu masuk Neraka kalau dia hidup tapi anak yang tidak dididik dengan sempurna akan rosak hidupnya yang kesudahannya akan ke Neraka juga.
5. Kita selalunya akan cepat-cepat ucapkan terima kasih pada sesiapa yang membantu kita dan akan kenangkan budinya sampai bila-bila TETAPI dengan Tuhan yang memberikan kita segala nikmat yang tak terhitung banyaknya, setiap detik dan setiap masa, kita jarang rasa terhutang budi dan berterima kasih setiap masa dengan cara yang dituntut-Nya.
6. Kita pasti berasa malu dan terhina bila ada orang yang mendedahkan keaiban kita TETAPI tidak pun rasa malu dengan Tuhan yang sudah sedia tahu kesalahan kita lahir dan batin, kecil dan besar.
7. Ramai lelaki memberikan alasan nak ikut sunnah Nabi SAW bila nak berpoligami TETAPI cara kehidupan dan amalannya sangat jauh dari sunnah. Ini pergunakan agama untuk kepentingan diri namanya. (Kalau perangai macam tu macam mana isteri nak bagi kahwin lain. )
8. Ramai perempuan tidak rela dimadukan oleh sang suami TETAPI ramai juga yang merelakan suaminya main perempuan di luar rumah asalkan sang suami tak kahwin lain. Alangkah buruknya sikap sebegini membiarkan sang suami bergelumang dengan dosa asalkan diri tidak berkongsi suami.
9. Kahwin 4 lebih baik dari kahwin 3, kahwin 3 lebih baik dari kahwin 2, kahwin 2 lebih baik dari kahwin
1 sekiranya mampu berlaku adil dalam semua segi TETAPI kahwin 1 lebih baik 2, kahwin 2 lebih baik dari 3, kahwin 3 lebih baik dari 4 jika tak mampu untuk berlaku adil pada kedua-duanya atau ketiga-tiganya atau keempat-empatnya. Hisab dan nilai diri dahulu sebelum pilih yang mana satu.
10. Pemimpin-pemimpin selalunya meniup seruling kedamaian, bersatu dan berkasih sayang sesama manusia TETAPI pemimpin yang sama juga di pentas yang lain memalu gendang permusuhan, menyalakan obor peperangan memotong tali persaudaraan.
11. Kita selalu rasa dia salah, dia jahat, dia tak betul, dia menyeleweng dan sebagainya TETAPI kita jarang sekali rasa aku jahat, aku berdosa, aku tidak betul, aku bersalah, kerana aku dia jadi begitu sedangkan sikap-sikap ini sangat dianjurkan.
**Mati Hanya Sekali, Jadikannya Di Jalan Allah**
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment